Nama
‘Pendang’ dikatakan berasal daripada nama ‘Pendiat’ yang bermakna parit
atau lubang yang digali khas untuk menangkap dan menjinakkan
gajah.Gajah-gajah yang telah dijinakkan dimandikan di telaga sejarah
yang terdapat berhampiran Balai Polis Daerah Pendang. Menurut sejarah,
telaga ini adalah telaga asal dan tidak pernah kering walaupun di musim
kemarau panjang.Anak-anak gajah dipelihara di sebuah kampung yang
bernama Kubang Anak Gajah dan gajah-gajah yang mati pula akan ditanam di
satu tempat bernama Kampung Gajah Mati.
Pada
zaman tersebut, Pendang adalah tempat pembiakan gajah yang terbesar dan
terkenal di Negeri Kedah selain dari Mukim Naga di Daerah Kubang Pasu.
Gajah menjadi kenderaan utama pada masa itu terutama sebagai kenderaan
darat untuk menghantar ‘ufti’ ( Bunga Emas ) ke Negeri Siam.Pendang
merupakan sebuah daerah dalam Negeri Kedah Darul Aman yang diwartakan
pada 1 Februari 1975 dan disempadani oleh Daerah Kota Setar di bahagian
Utara, Daerah Yan di Barat, Daerah Padang Terap dan Sik di sebelah Timur
dan Daerah Kuala Muda di bahagian selatan. Keluasan bagi Daerah Pendang
ialah 62,929 hektar atau 629.29 kilometer persegi dan terbahagi kepada
lapan mukim iaitu Mukim Tobiar, Mukim Padang Pusing, Mukim Guar
Kepayang, Mukim Padang Peliang, Mukim Rambai, Mukim Bukit Raya, Mukim
Padang Kerbau dan Mukim Air Puteh.
Sebanyak
27,639 hektar tanah di Daerah Pendang digunakan untuk tanaman getah
manakala 18,462 hektar tanah digunakan untuk tanaman padi. Antara
tanaman yang semakin pesat diusahakan di Daerah Pendang ialah rambutan,
durian, cempedak, mangga, dokong, limau bali, nangka dan manggis. Sektor
perniagaan yang terdapat di Daerah Pendang dibahagikan kepada dua
kategori iaitu perniagaan formal (barang runcit dan perkhidmatan) dan
perniagaan tidak formal (gerai dan penjaja). Aktiviti perniagaan di
Daerah Pendang tertumpu pada kawasan penempatan utama seperti Pekan
Pendang, Tanah Merah, Tokai, Kubur Panjang, Bukit Jenun, Kilang Kechik,
Kokbah dan Kampung Baru.
Daerah
Pendang tidak mempunyai kawasan khusus untuk industri. Sektor
perindustrian adalah berselerak di merata tempat. Industri di Daerah
Pendang banyak tertumpu kepada hasil pertanian seperti kilang beras dan
getah. 68 peratus kilang di daerah Pendang dimiliki oleh kaum Cina yang
terlibat dalam semua jenis kilang. Melayu memiliki 26 peratus jumlah
kilang di Daerah Pendang, hampir semuanya terlibat dalam industri
makanan. Kaum-kaum lain memiliki kurang dari lima peratus.